Kapal terbang penyerang Persenjataan Perang Vietnam

A1 Skyraider

Kapal terbang A1 Skyraider

Pesawat ini digunakan sebagai pesawat pengiring helikopter penyelamat, dan untuk sokongan udara dekat (close air support) bagi unit-unit tentera darat yang memerlukan bantuan. Pesawat di dicipta oleh Ed Heinemann, dari syarikat Douglas Aircraft. A1 Skyraider adalah sebuah kapal terbang yang lasak, boleh membawa muatan perang yang banyak dan boleh berlegar berjam-jam di atas kawasan operasi untuk menunggu panggilan daripada pasukan yang memerlukan bantuan. A1D Skyraider dikreditkan dengan kejayaan menembak jatuh sebuah pesawat MiG-17. Di penghujung Perang Vietnam, tugas A1D Skyraider diambil alih pesawat A-37 Dragonfly and A-7 Corsair II.

Kapal terbang pejuang A1 Skyraider paling masyhur kerana melakukan operasi “Sandy” untuk mengiring helikopter penyelamat semasa Perang Vietnam. Pesawat ini adalah pesawat pejuang penyerang satu tempat duduk yang dibina oleh Douglas Aircraft Company (selepas itu McDonnell Douglas dan kini sebahagian daripada syarikat Boeing). Pesawat ini menjadi satu kejanggalan kerana menjadi pesawat berkipas yang amat berjaya melakukan misi dan tugasannya di zaman penerbangan jet.

Kapal terbang ini adalah rekaan pereka terkenal Ed Heinemann. Dia terkenal kerana menjadi pereka kapal terbang A-4 Skyhawk. Heinemann membuat Skyraider sebagai satu pilihan yang lebih mudah kepada reka bentuk kapal terbang XBTD-1. penerbangan sulung prototaip dibuat pada 18 Mac 1945. Kapal terbang ini mempunyai enjin Wright R-3350, dan 7 stesen persenjataan di setiap sayap, membolehkannya membawa muatan senjata yang amat banyak.

Skyraider terlalu lambat untuk beraksi dalam Perang Dunia II, tetapi memberikan perkhidmatan cemerlang semasa Perang Korea. Kelebihan kapal terbang ini membawa muatan perang yang banyak dan kebolehannya berlegar untuk masa yang lama (selama 10 jam) menjadikannya ia paling sesuai untuk memenuhi misi serangan bantuan rapat (close air support). Skyraider melalui beberapa versi bermula dengan AD-1, dan kemudiannya AD-2 sebelum digantikan dengan versi AD-3. Versi AD-4 mempunyai enjin Wright R-3350-26WA yang lebih berkuasa, dan versi AD-5 mempunyai dua orang juruterbang. Versi pengeluaran terakhir adalah AD-7 yang menggunakan enjin Wright R-3350-26WB.

Pengeluaran dihentikan dalam tahun 1957 setelah pembinaan 3,180 unit. Dalam tahun 1962, pesawat ini ditukarkan penamaannya kepada A-1 Skyraider dan digunakan semasa Perang Vietnam oleh Tentera Udara Amerika Syarikat dan Tentera Laut Amerika Syarikat. A1D Skyraider mengilhamkan pesawat A-10 Thunderbolt II yang direka sebagai pesawat khusus sokongan udara dekat untuk misi tempur di teater Eropah.

Cessna A-37 Dragonfly

A-37 Dragonfly

Kapal terbang penyerang ‘’’A-37 Dragonfly’’’ dibangunkan dalam tahun 1963 dengan membuat pengubahsuaian kepada kerangka kapal terbang latihan T-37 Tweety Bird. Walaupun kelihatan serupa, pada hakikat tidak banyak kelengkapan yang boleh dikongsi bersama di antara kedua model ini. Stesen senjata diletakkan di bahagian bawah sayap dan hujung sayap diletakkan tangki minyak. Kokpit pesawat ini diberikan kelengkapan avionics yang lebih canggih dan kerusi lenting, dan kebolehan mengisi minyak semasa penerbangan. Meriam 20mm juga dipasangkan.

Oleh kerana pengubahsuaian ini melibatkan penambahan berat pesawat, dua enjin General Electric J85-GE-17A yang lebih berkuasa dipasangkan yang memberikan tujahan 2,850 lbs. Pesawat ini mempunyai depan sayap 35 kaki 10 inci, panjang 29 kaki 3 inci dan tinggi 8 kaki 10 inci. Berat maksimum pesawat ini adalah 7000 kg dan ia boleh terbang dengan kelajuan maksimum 800 kmj. Pesawat ini boleh terbang sehingga ketinggian 14000 meter. Pesawat ini mempunyai 2 orang anak kapal.

Persenjataan pesawat A-37 Dragonfly termasuklah satu pucuk minigun 7.62mm di bahagian muncung pesawat dan beban perang seberat 2400 kg yang boleh dipasang di 8 stesen senjata di sayap. Tatasusun yang lain boleh melibatkan pemasangan dua pod mesingan, 2 pelancar roket 2.75 inci dan 4 butir bom. Sebanyak 577 pesawat A-37 dibina oleh Cessna dalam jangka masa 10 tahun. Pesawat ini digunakan dengan meluas semasa Perang Vietnam dan sebilangannya diserahkan kepada Tentera Udara Republik Vietnam.

Douglas A-4 Skyhawk

A-4 Skyhawk

Kapal terbang McDonnell-Douglas (kini Boeing) A-4 Skyhawk adalah sejenis pesawat penyerang yang direka khusus untuk beroperasi dari kapal induk Tentera Laut Amerika Syarikat. Kapal terbang ini masih dalam perkhidmatan dengan angkatan tentera beberapa buah negara seperti Argentina.

Pesawat A-4 Skyhawk dicipta oleh Ed Heinemann untuk memenuhi keperluan Tentera Laut yang mencari kapal terbang bagi menggantikan pesawat A-1 Skyraider. Ed Heinemann memilih untuk mencipta pesawat yang paling ringan dan paling kecil dan paling mudah dikendalikan. Hasilnya, pesawat A-4 Skyhawk ciptaan Ed Heinemann hanya separuh daripada berat yang ditetapkan oleh Tentera Laut dan buka sayapnya kecil sehingga tidak memerlukan sayapnya dilipat untuk simpanan dalam hangar kapal. Kelasakan pesawat ini memberikan jolokan "Scooter".

Dalam tahun 1952, Tentera Laut memberikan kontrak kepada McDonnell-Douglas untuk pembekalan kapal terbang A-4 Skyhawk. Penerbangan sulung dilakukan pada 22 Jun 1954 dan penghantaran kepada skuadron Tentera Laut dan Kor Marin bermula pada akhir tahun 1956. Skyhawk berterusan dibuat sehingga tahun 1975 dengan 2960 unit dibina, termasuk 555 pesawat dua tempat duduk.

Tentera Laut mula menarik baik pesawat A-4 Skyhawk daripada perkhidmatan skuadron dalam tahun 1967 untuk penggantian dengan pesawat A-7 Corsair II. Kor Marin terus menggunakan pesawat A-4 Skyhawk sehingga pertengahan tahun 1990-an apabila ia digantikan oleh pesawat AV-8 Harrier.

Grumman A-6 Intruder

A-6 Intruder

Kapal terbang Grumman A-6 Intruder adalah sejenis kapal terbang penyerang pelbagai cuaca yang beroperasi dari kapal induk. Pesawat ini mempunyai dua enjin dan berkhidmat antara tahun 1962 hingga 1997. pesawat ini bertujuan menggantikan A-1 Skyraider dalam misi serangan.

Kapal terbang A-6 intruder dibuat untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Amerika bagi satu jenis pesawat penyerang yang boleh beroperasi dalam apa bentuk cuaca (dalam tafsiran Tentera Laut waktu malam juga adalah satu jenis cuaca). Pesawat prototaip melakukan penerbangan sulung pada 19 April 1960. Juru terbang pesawat ini duduk di sebelah kiri dan pemandu arah/pembidik bom pula duduk di sebelah kanan. Sebuah skrin CRT mempamerkan rupa bumi di hadapan, dan membolehkan pesawat ini terbang rendah dalam semua jenis cuaca.

Bentuk sayapnya memberikan tahap efisien yang tinggi pada kelajuan subsonik. Bentuk sayap A-6 Intruder digunakan sebagai asas kepada reka bentuk sayap F-14 Tomcat bersama-sama dengan roda dan geometri salur masuk enjin . Dalam tahun 1962, pesawat ini menerima siri penamaan A-6. pesawat A-6 mula memasuki perkhidmatan peringkat skuadron pada bulan Februari 1963. Pesawat A-6 Intruder menjadi pesawat penyerang utama digunakan oleh Tentera Laut dan Kor Marin. Pesawat ini juga boleh membawa muatan perang yang berat.

Kesemuanya, 687 buah kapal terbang A-6 Intruder dibina oleh Grumman untuk Tentera Laut Amerika dan Kor Marin, dengan 488 unit dibina dalam versi A-6A. Pesawat A-6 Intruder menggugurkan lebih banyak ordnans semasa Perang Vietnam berbanding dengan pengebom B-52. . Untuk memberikan perlindungan daripada serangan peluru berpandu, 19 buah pesawat A-6A dinaik taraf dan diubahsuai menjadi pesawat A-6B yang berperanan khusus menyerang dan menumpaskan peluru berpandu (SEAD) menggunakan misil antiradiasi jenis AGM-45 Shrike dan AGM-78 Standard.

12 buah pesawat A-6A lagi diubahsuai menjadi A-6C yang diberikan peranan khusus menyerang sasaran di Laluan Ho Chi Minh. Pesawat A-6C ini mempunyai sistem infra merah FLIR dan kamera TV dan mempunyai peralatan khas untuk mengesan enjin lori yang menggunakan Laluan Ho Chi Minh. Sebuah daripada 12 pesawat ini musnah semasa menjalankan operasi.

Ling-Temco-Vought A-7 Corsair II

A-7 Corsair II

Pesawat A-7 Corsair II menggunakan kerangka pesawat F-8 Crusader yang diubahsuai dengan badan yang lebih lebar dan lebih pendek untuk menjalankan operasi serangan bantuan rapat (CAS) untuk Tentera Udara Amerika Syarikat. Pesawat ini memulakan perkhidmatan dalam tahun 1965.

Dalam tahun 1962, Tentera Laut Amerika Syarikat menjalankan kerja persediaan untuk menggantikan pesawat A-4 Skyhawk dengan sejenis pesawat yang mempunyai jarak tempur yang lebih jauh dan keupayaan membawa lebih banyak bom. Penekanan diberikan kepada keupayaan mengena sasaran dengan tepat untuk membolehkan kos per sasaran diminimumkan. Untuk mengurangkan kos, cadangan dihadkan kepada reka bentuk sedia ada. Cadangan Vought berasaskan pesawat F-8 Crusader diterima sebagai pemenang.

Pesawat A-7 Corsair mempunyai ketinggian 16 kaki dan panjangnya 46 kaki, sementara depan sayapnya adalah 38 kaki 9 inci dengan berat kosong 19,500 lbs dan berat maksimum 42,000 lbs. Pesawat ini didorong oleh sebuah enjin turbofan Pratt & Whitney TF30. Keupayaan mengenai sasaran dengan tepat dibolehkan dengan penggunaan sistem automatik dengan sistem pandu arah elektronik dan sistem pengeboman. Pesawat A-7 Corsair menjadi pesawat pengebom utama Tentera Laut Amerika menjelang penghujung Perang Vietnam. Pesawat A-7 Corsair menjalankan misi terakhir Perang Vietnam dengan serangan ke atas sasaran di Kemboja pada 15 Ogos 1973. Pesawat A-7 Corsair II adalah antra pesawat tempur paling awal menggunakan sistem HUD, sistem pandu arah inertia dibendung Doppler (doppler-bounded inertial navigation system) dan enjin turbofan.

Pesawat A-7 Tentera Laut Amerika mula ditempatkan di medan Perang Vietnam dalam tahun 1967 di atas kapal induk USS Ranger (CVA-61) dan pertama kali membuat penerbangan tempur pada 4 Disember 1967. Pesawat A-7B yang ditambah baik memasuki perkhidmatan peringkat skuadron pada awal tahun 1969. Tentera Udara Amerika Syarikat menggunakan pesawat A-7D mereka di Vietnam bermula dengan penempatan Kumpulan Pesawat Pejuang Taktikal ke-354 (354th Tactical Fighter Wing) di Pengkalan Udara Korat, Thailand. Pesawat A-7 ditugaskan untuk misi “Sandy” mengiringi helikopter CSAR dalam misi menyelamat. Pesawat A-7D Tentera Udara Amerika Syarikat mengendalikan 12,928 kali penerbangan tempur di Vietnam dengan mengalami kehilangan 4 buah pesawat, kadar paling rendah untuk mana-mana jenis pesawat.

General Dynamics F-111 Aardvark

F-111 Aardvark

Pesawat versatil F-111 yang diberikan nama jolokan Aardvark mula menyertai perkhidmatan skuadron dalam Tentera Udara Amerika Syarikat dalam tahu 1967. Pesawat ini boleh terbang pada kadar 2 kali kelajuan bunyi (Mach 2) dengan mengayunkan sayapnya ke belakang. Sayapnya diayunkan ke hadapan untuk berlepas, mendarat dan semasa terbang pada kelajuan rendah.

Pesawat ini mulanya dipangiil TFX (Tactical Fighter X), dan dibuat untuk memenuhi keperluan pejuang-pengebom baru untuk Tentera Udara Amerika Syarikat. Dalam tahun 1960, Jabatan Pertahanan Amerika menggabungkan keperluan Tentera Udara dengan keperluan pesawat pejuang baru untuk Tentera Laut. Satu pertandingan diadakan di antara pengeluar kapal terbang. General Dynamics akhirnya muncul sebagai pemenang pertandingan.

Penerbangan sulung pesawat F-111A berlangsung dalam bulan Disember 1964 dan pesawat mula dihantar kepada Tentera Udara dalam tahun 1967 tetapi program F-111B untuk Tentera Laut dibatalkan. Kesemua sekali, 566 buah kapal terbang F-111 dibina, dengan 159 buah dalam versi F-111A. Pesawat F-111 terlibat dalam Perang Vietnam semasa berkhidmat dengan Kumpulan 474TFW menjalankan operasi Linebacker II.

Rujukan

WikiPedia: Persenjataan Perang Vietnam http://psysim.www7.50megs.com/dustkelly.htm http://www.britains-smallwars.com/Vietnam/SP.htm http://www.danshistory.com/vietnam.shtml#kia http://www.historynet.com/magazines/vietnam/303011... http://www.imdb.com/title/tt0079652/ http://www.nostalgiacentral.com/movies/oddangrysho... http://keepourcountryfree.tripod.com/id18.html http://www.diggerhistory.info/pages-air-support/vi... http://www.vectorsite.net/avcrus_2.html#m3 http://www.globalsecurity.org/military/systems/air...